Daily Archives: 2 May, 2016

Salin balik soalan: Perlu atau tidak?

Published by:

Semalam, tika saya mengajar anak saudara saya Matematik, saya meminta dia untuk terus menulis jawapan dalam buku latihan. Tapi dia membalas yang dia akan buat kemudian kerana perlu disalin dahulu soalan yang diberikan. Maka saya pun, seperti marhaen yang lain, mula mengambil telefon dan menulis di tweet dan Facebook, menyuara rasa ketidakpuashatian saya terhadap hal ini.

Maka tweet dan post saya di Facebook saya berbunyi:-

Cikgu-cikgu sekalian, kalau soalan panjang tu tak payah la suruh anak murid salin. Zaman universiti nanti kita suruh depa copy paste ja. Jawapan copy paste, hat tu kita reject.

Menarik juga kerana rakan-rakan dan anak murid memberi reaksi. Mereka yang ini yang kini sedang mengajar di sekolah-sekolah memberi respon bahawa salin semula soalan itu dapat buat kelas senyap sebentar. Dalam konteks penulisan ini, salin semula soalan itu bermaksud menyalin secara keseluruhan soalan yang diberikan.

Saya cuba memahami perspektif guru dan ada benarnya, penyalinan semula soalan boleh buat pelajar memahami. Mungkin itu juga satu teknik pembelajaran kerana rakan Austria dulu menyalin satu-satu nota dari pensyarah ketika kuliah, meskipun nota bercetak sudah pun diberi. Dan dia pelajar yang pintar. Top 25% in the class ketika Masters dulu. Saya Bottom 25% (Haha).

Namun, dalam keadaan sekarang, bila kita cuba merapatkan jurang pembelajaran sekolah dan pengajian tinggi (yang mana kami pula perlu selaraskan pengajian tinggi dan penghasilan tenaga kerja yang kompeten; memang mencabar kerjaya sebagai pendidik dan penyelidik masa kini), sudah terdapat beberapa kemahiran yang perlu difikirkan semula.

Pelajar perlu tahu untuk memahami dan merumus, kemudian menyelesaikan. Maka isi-isi penting dari soalan harus dikeluarkan, dan dalam era yang kompetitif ini, seorang individu perlu menyelesaikan masalah dalam masa yang pendek. Dan menyalin semula soalan, walhal soalan itu sendiri boleh dirujuk semula kelak daripada buku teks, buku latihan atau fail PDF dalam komputer, adalah satu pembaziran tenaga dan masa.

Pada pendapat saya, yang masih lagi baru dalam bidang ini, menyalin soalan itu tidak lagi dikira efektif. Pelajar membuang masa menulis sesuatu yang tidak pun masuk dalam kepalanya. Kemahiran yang kita mahu ada ialah kemahiran membaca dan memahami. Ketika mengajar kelas di universiti, masih ada pelajar yang menyalin soalan apabila saya memberikan soalan di dalam kelas. Saya perlu menunggu satu dua minit sebelum mereka mencuba soalan itu. Itu belum lagi yang saja lambat-lambat menyalin soalan supaya perbincangan jawapan sudah bermula. Ini mungkin salah satu sebab yang membuatkan saya tidak gemar jika pelajar-pelajar diajar untuk menyalin soalan. Nanti bila di universiti sekalipun, masih lagi terus menyalin soalan sedangkan jawapannya tidak juga muncul-muncul.