Author Archives: Amri

Simpler Time

Published by:

Ili, anak sepupu aku share video pendek dari Puteri Impian. Yang part encrypt ayat tambah fa-fi-fu-fe-fo tu.If you know what I mean, then you get it lah.

It somehow reminds me of a simpler time. Waktu tu aku Darjah 6. We are sort of singing family. So, sebab banyak lagu dalam cerita Puteri Impian tu, kami akan nyanyi lagu-lagu dalam tu. It was nice.

I guess throwing back to 1996 feels like it’s a long time ago…

Anak burung

Published by:

Tiga hari lepas, seekor anak burung mengicau2 di depan pintu rumah. Dia terbang tak berapa lepas. So aku pun bagi la makan.

Memang kena suap macam mak2 burung bagi makan anak dia. Mula-mula campak makanan kat bawah ingat dia nak patuk macam ayam, tapi sebab anak burung, dia masih lagi nak bantuan kot.

Balik kerja masih lagi bertenggek kat pintu tu. Bagi makan seround lagi. Tapi by this time dia dah pandai menyudu air kat bawah tu. Lepas tu agaknya sayap dia dah kuat kembali, baru lah dia terbang pergi tanpa memberitahu, hanya sekadar meninggalkan memori…

Amri – Rebah (Lirik)

Published by:

Aku buat lagu ni lama dah. Dah perform waktu But Cikgu, We Lost! tempoh hari. Tapi ni baru siap rakam. Pulun gak untuk video ni sebab ajak bebudak BC kids berlakon dalam video clip.

Lirik:

Walau detik menyambung masa
Dan aku melangkah
Ribut bagai terus menerpa
Biar aku tempuh sendiri
Sementara hujan, masih lagi jatuh ke bumi

Biar pedih kata manusia
meskipun diri terluka
Akan aku tempuh segala
Sebelum tibanya bahagia

[Chorus]
Rebah, biar tersungkur jatuh
Walau terasa lemah
kaki Ku kan terus Ku Hayun ke depan melangkah
Takkan aku mengalah
Walau tersilap langkah
Jiwaku masih terus membara

Dan kini ku mengenal erti
persahabatan yang
takkan luntur hingga ke mati
walau gempa di atas bumi
namun takkan runtuh
yang kita bina kekal utuh

Biar serong pandang mereka
ku tahu ku tak sempurna
Kita bersama tempuh segala
Sebelum tibanya bahagia

Chorus

Dan kini ku menongkah bumi
Walau panas terik matahari
Di sini semuanya bersemi
takkan ku lepaskannya pergi

[Chorus]
Rebah, biar tersungkur jatuh
Walau terasa lemah
kaki Ku kan terus Ku Hayun ke depan melangkah
Takkan aku mengalah
Walau tersilap langkah
Jiwaku masih terus membara

Rebah, biar tersungkur jatuh
Walau terasa lemah
Jiwaku masih terus membara

Sains dan Matematik : Biar diajar dalam bahasa sendiri

Published by:

Malam tadi saya menonton Advokasi Ilmuwan di TV1. Dan saya pun menulis status di Facebook:-

 

Setuju dengan panel ‪#‎AdvokasiIlmuwan, Sains dan Matematik eloklah dipelajari dalam bahasa sendiri

 

Maka komen dari post tersebut meminta untuk saya beri penjelasan lanjut tentang pendapat saya itu.

 

Pertama sekali, saya ingin tegaskan bahawa dalam melihat isu ini, saya pinta semua yang membaca dan menilai dalam keadaan berlapang dada. Jika kita sudah rigid dengan pendapat Sains dan Matematik ini perlu diajar dalam bahasa tertentu, tiada guna untuk mendengar pertikaian orang lain.

 

Saya akui konteks ayat di atas yang kurang jelas. Konteks tidak menyatakan pada peringkat rendah, menengah atau pengajian tinggi. Maka dalam menulis perihal ini, saya akan cuba menspesifikasikan peringkat pengajian dalam membincangkan pendapat saya.

 

Mula-mula, ingin saya ulang pendapat popular sebelum ke pendapat peribadi. Pembelajaran dalam bahasa sendiri tidak pernah menafikan kemajuan sesebuah negara. Negara Jepun dan Jerman, juga negara-negara lain dalam Kesatuan Eropah menggunakan bahasa ibunda untuk mengajar Sains dan Matematik. Dan tiada alasan untuk mereka maju. Tiada alasan juga untuk mereka menerbitkan hasil penyelidikan bertaraf tinggi.

 

Namun benar, kita tidak boleh menggunakan pendekatan : orang buat itu, kita buat itu juga. Budaya masyarakat itu kompleks. Sesuatu yang berkesan di sesebuah negara tidak semestinya berkesan di negara kita.

 

Bagi saya, pengajaran dalam bahasa sendiri itu lebih baik. Dalam konteks negara kita, lebih berkesan jika kita diajar dalam bahasa ibunda masing-masing.

 

Bahasa Sebagai Asas Kefahaman

 

Bahasa ialah medium komunikasi.  Wujud kepelbagaian bahasa dalam masyarakat kita. Ada yang membesar dengan Bahasa Melayu, Cina, Tamil, Inggeris atau lain-lain lagi. Katakan kita sedang berbicara dengan seorang budak kecil berusia lingkungan 7 tahun. Kita tidak akan menggunakan istilah-istilah sukar untuk berkomunikasi dengannya. Kita tidak akan gunakan bahasa yang dia tidak fahami untuk menerangkan sesuatu. Kita boleh gunakan istilah-istilah besar atau bahasa lain untuk tujuan mendidik, namun adakah komunikasi tersebut berkesan?

 

Masalah yang timbul ialah apabila wujud jurang antara rakyat. Terdapat keluarga yang mampu bertutur dalam Bahasa Inggeris dan ramai lagi yang mempelajari dan mempraktikkan Bahasa Inggeris hanya di sekolah. Subjek seperti Matematik ini secara amnya pun tidak digemari masyarakat sedunia. Side story: Bila saya berjalan-jalan ke negara lain dan bertemu dengan orang tempatan, mereka akan bertanya pekerjaan saya dan biasanya memberikan reaksi yang sama bila saya beritahu yang saya mengajar Matematik. “That’s a difficult subject” atau “I hate Maths.”

Jika secara umum pun subjek seperti Matematik dan Sains dianggap sukar, ditambah lagi dengan diajar dengan Bahasa Inggeris, mampu membunuh minat pelajar-pelajar yang mahu belajar. Mungkin bagi kita-kita yang mahir dan memahami Sains dalam Bahasa Inggeris, boleh kita cuba tanyakan soalan ini:

 

Jika katakanlah kita mengenal pasti bahawa subjek Sains dan Matematik paling sesuai diajar dalam Bahasa Jerman, dan implementasi dasar ini akan mula diadakan dari bulan September ini, adakah kita bersedia menerima perubahan?

 

Kecualilah jika kita punya minat atau sudah tahu Bahasa Jerman, maka kita akan merasakan kepelikan untuk dipaksa belajar dalam satu bahasa yang belum kita kuasai.

 

Pertikaian saya terhadap pengajaran dalam Bahasa Inggeris bukanlah kerana bahasa itu sendiri. Namun sudahkah kita mempersediakan individu yang hendak diajar. Makna kata, jika kita mahukan pengajaran dilakukan dalam Bahasa Jerman, kita latih tubi untuk individu itu supaya mahir dalam Bahasa Jerman. Biar dia tahu segala kata nama Jerman yang mempunyai jantina lelaki, perempuan atau neutral. Biar dia tahu cara menyebut r yang hampir bunyi orang Kedah menyebut r. Biar dia tahu cara untuk sebut huruf ß. Kemudian kita ajar dalam Bahasa Jerman.

 

Tujuan persediaan ini mudah. Untuk pastikan individu tersebut memahami. Sebenarnya teknik ini sudah lama kita lakukan di Malaysia. Untuk Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman untuk pelajar lepasan SPM di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, kita memastikan pelajar tersebut melalui program persediaan bahasa supaya mereka dapat memahami dan beradaptasi dengan persekitaran baru [1].

 

Dalam hal ini, tidak kira sama ada pelajar itu dahulunya belajar dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu, pelajar perlu dilatih dahulu dengan bahasa yang baru. Namun proses ini tidak sukar kerana pelajar yang cemerlang yang dipilih ini sudah memahami konsep Sains, Matematik dan subjek-subjek lain.

 

Bezanya dengan masyarakat umum ialah tidak semua orang memahami dan meminati Sains dari kecil. Ini belum ditambah dengan faktor perkembangan minda yang berbeza antara setiap individu. Sesetengah orang berkembang dengan lambat. Dan late bloomer ini, jika pada awalnya pun sudah berasa tidak minat kepada Sains dan Matematik kerana kurang pintar pada awalnya, dan kurang minatnya pada Bahasa Inggeris, maka bertambah tidak kondusif bila kita mengajar individu sebegini dalam bahasa yang janggal bagi beliau.

 

Kerana biasanya manusia itu cemerlang dalam sesuatu kerana minat. Dan jika minat dibantut dari awal kerana terasa lemah dan susah, kita juga menafikan bakat-bakat masa depan untuk menyerlah.

 

Saya kurang kisah bila bercakap tentang pengajaran dalam Bahasa Inggeris di peringkat universiti. Saya tiada masalah jika pengajaran dibuat dalam Bahasa Inggeris untuk mempersediakan pelajar dalam bidang penyelidikan dan penerbitan, ataupun pekerjaan. Juga kerana individu itu punya sekurang-kurangnya sebelas tahun dalam pengajian rendah dan menengah untuk belajar Bahasa Inggeris.

 

Individu perlu untuk tidak malas dan juga punya inisiatif sendiri untuk mahu belajar. Namun, dalam usia awal  di peringkat rendah dan menengah ini, kita perlu punya objektif yang lebih jelas. Jika kita mahu mereka petah berbicara Bahasa Inggeris, kita latih mereka dengan komponen bahasa. Biar mereka minat seni-seni bahasa yang wujud dalam sastera, lukisan atau lagu. Biar mereka berbicara, pelajari dan mahir dalam tatabahasa. Biar ditambah masa untuk belajar Bahasa Inggeris jika perlu.

 

Dan Sains, Matematik atau Sejarah, Pendidikan Islam dan Kemahiran Hidup; kita biar mereka faham dan minat. Ajarlah dalam bahasa sendiri. Jika memang semua pelajar sekolah itu biasa bertutur Bahasa Inggeris, tiada masalah pun untuk belajar dalam Bahasa Inggeris. Jika rata-rata pelajar hanya memahami Bahasa Melayu, biarlah pengajaran dalam Bahasa Melayu.
Setelah faham sesuatu perkara itu, hendak diubah ajar dalam Bahasa Korea pun tidak ada masalah.

 

 

Rujukan

 

[1] Buletinkpm.blogspot.my. (2012). Blog Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia: Program Penajaan Pengajian Untuk Pelajar Cemerlang Diumum. [online] Available at: http://buletinkpm.blogspot.my/2012/04/program-penajaan-pengajian-untuk.html [Accessed 11 Jun. 2016].

Kenapa kecam Clever Girl?

Published by:

Saya mula dengar tentang rancangan Clever Girl ini daripada beberapa orang kawan. Semuanya menceritakan tentang para peserta yang gagal menjawab soalan yang mudah. Maka pada satu malam itu, saya mula menonton Clever Girl. Sebabnya cukup mudah. Memang hari Ahad malam, saya biasa berada di rumah emak ayah saya dan emak biasanya akan memasang televisyen. Apa saja rancangan yang ada jam 9, memang saya tonton. Dahulu, slot ini terisi dengan Bintang Mencari Bintang. Sebelum itu, entah apa lagi.

Teringat anak murid saya pernah bertanya, ‘sir tengok Clever Girl, tengok clever ke, tengok girl?’ Saya jawab, ‘tengok dua-dualah!’, dan disambut deraian ketawa mereka. Saya memang menggemari rancangan berbentuk trivia ini. Tambah pula konsep markah dan penyingkiran Clever Girl, saya kira menarik. Memang ada beberapa pertikaian yang boleh dilakukan, tapi biasalah, memang lumrah rancangan televisyen.

Cuma bila saya melayar #CleverGirlMy atau membaca komen-komen daripada orang ramai, begitu banyak sekali kecaman terhadap rancangan ini. Saya faham dan akui kebenaran sesetengah komen seperti rancangan ini memanipulasi wanita, katanya. Namun banyak sekali komen yang merendahkan kepintaran peserta-peserta ini.

Pertamanya, saya tertanya juga kenapa banyak masyarakat yang selesa untuk menghentam rancangan ini sedang rancangan melibatkan lagu atau komedi tidak menerima nasib yang sama. Keduanya, pintar sangatkah diri kita ini untuk menghukum peserta Clever Girl ini tidak clever? Saya sendiri yang mengajar Matematik di peringkat pengajian tinggi juga merangkak untuk menjawab soalan-soalan Matematik. Bukan kerana tidak faham atau tidak tahu, tapi kerana saya perlukan situasi selesa untuk saya baca soalan, fahamkan dan buat pengiraan; bukan dengan tergesa-gesa mengira dan menekan buzzer. Saya juga sering tertanya, yang biasa pantas menaip ayat penuh sinikal di Twitter mahupun Facebook, memperlekeh kebolehan peserta itu, adakah mereka ini terdiri, dalam zaman mereka di sekolah, golongan pelajar yang biasanya mengangkat tangan di dalam kelas untuk menjawab soalan yang diajukan guru.

Satu perkara yang saya risaukan ialah penonton televisyen lebih selesa dimomokkan dengan hiburan kosong daripada yang terisi. Lebih selesa dengan rancangan yang pengacaranya perlu menyebut berulang kali tagline syarikat yang menaja, daripada rancangan Clever Girl yang sampai minggu sebelum final ini, masih lagi saya lupa siapa yang taja. Saya risau jika reaksi negatif terhadap rancangan ini ialah akibat format soalan objektif dan soalan-soalan Matematik itu mengingatkan penonton pada ketika mereka di sekolah; dan biasalah bila di sekolah, kita suka untuk ketawa, kutuk dan sindir pelajar bijak bila mereka tersalah jawab soalan. Mungkin penonton yang bersifat reaktif ini akibat jarang-jarang sekali kita diberikan rancangan yang memaksa kita berfikir dan terasa dungu sebentar apabila pada satu soalan tertentu, tiada satu jawapan objektif pun yang kita ketahui. Dan bila kita tidak tahu dan peserta pun tidak dapat menjawab, maka kita pun lebih senang untuk berkata ‘kau kata kau clever!’.

Saya harap tanggapan saya itu salah.

***
P.S: Jika pihak producer membaca, saya selalu berseloroh dengan anak murid, biar saya jadi host Season 2 supaya saya boleh terangkan part jawapan Matematik itu. Joke aside, saya sarankan untuk pembuat soalan Matematik itu turut menyediakan skrip kepada host untuk dibaca ketika jawapan dipapar di skrin supaya Alif tidaklah nampak blur sangat. Misalnya untuk soalan malam ini (soalan kertas A4), skrip yang boleh diberi pada Alif ialah seperti “Untuk soalan ini, kita perlu bahagikan saiz asal kepada separuh, dan jawapan itu kemudian dibahagi lagi kepada separuh, dan separuh, sehinggalah kita dapat saiz untuk kertas A4.” Ringkas, namun dengan bantuan paparan di skrin, mampu memberikan penjelasan.