Kenapa kecam Clever Girl?

Saya mula dengar tentang rancangan Clever Girl ini daripada beberapa orang kawan. Semuanya menceritakan tentang para peserta yang gagal menjawab soalan yang mudah. Maka pada satu malam itu, saya mula menonton Clever Girl. Sebabnya cukup mudah. Memang hari Ahad malam, saya biasa berada di rumah emak ayah saya dan emak biasanya akan memasang televisyen. Apa saja rancangan yang ada jam 9, memang saya tonton. Dahulu, slot ini terisi dengan Bintang Mencari Bintang. Sebelum itu, entah apa lagi.

Teringat anak murid saya pernah bertanya, ‘sir tengok Clever Girl, tengok clever ke, tengok girl?’ Saya jawab, ‘tengok dua-dualah!’, dan disambut deraian ketawa mereka. Saya memang menggemari rancangan berbentuk trivia ini. Tambah pula konsep markah dan penyingkiran Clever Girl, saya kira menarik. Memang ada beberapa pertikaian yang boleh dilakukan, tapi biasalah, memang lumrah rancangan televisyen.

Cuma bila saya melayar #CleverGirlMy atau membaca komen-komen daripada orang ramai, begitu banyak sekali kecaman terhadap rancangan ini. Saya faham dan akui kebenaran sesetengah komen seperti rancangan ini memanipulasi wanita, katanya. Namun banyak sekali komen yang merendahkan kepintaran peserta-peserta ini.

Pertamanya, saya tertanya juga kenapa banyak masyarakat yang selesa untuk menghentam rancangan ini sedang rancangan melibatkan lagu atau komedi tidak menerima nasib yang sama. Keduanya, pintar sangatkah diri kita ini untuk menghukum peserta Clever Girl ini tidak clever? Saya sendiri yang mengajar Matematik di peringkat pengajian tinggi juga merangkak untuk menjawab soalan-soalan Matematik. Bukan kerana tidak faham atau tidak tahu, tapi kerana saya perlukan situasi selesa untuk saya baca soalan, fahamkan dan buat pengiraan; bukan dengan tergesa-gesa mengira dan menekan buzzer. Saya juga sering tertanya, yang biasa pantas menaip ayat penuh sinikal di Twitter mahupun Facebook, memperlekeh kebolehan peserta itu, adakah mereka ini terdiri, dalam zaman mereka di sekolah, golongan pelajar yang biasanya mengangkat tangan di dalam kelas untuk menjawab soalan yang diajukan guru.

Satu perkara yang saya risaukan ialah penonton televisyen lebih selesa dimomokkan dengan hiburan kosong daripada yang terisi. Lebih selesa dengan rancangan yang pengacaranya perlu menyebut berulang kali tagline syarikat yang menaja, daripada rancangan Clever Girl yang sampai minggu sebelum final ini, masih lagi saya lupa siapa yang taja. Saya risau jika reaksi negatif terhadap rancangan ini ialah akibat format soalan objektif dan soalan-soalan Matematik itu mengingatkan penonton pada ketika mereka di sekolah; dan biasalah bila di sekolah, kita suka untuk ketawa, kutuk dan sindir pelajar bijak bila mereka tersalah jawab soalan. Mungkin penonton yang bersifat reaktif ini akibat jarang-jarang sekali kita diberikan rancangan yang memaksa kita berfikir dan terasa dungu sebentar apabila pada satu soalan tertentu, tiada satu jawapan objektif pun yang kita ketahui. Dan bila kita tidak tahu dan peserta pun tidak dapat menjawab, maka kita pun lebih senang untuk berkata ‘kau kata kau clever!’.

Saya harap tanggapan saya itu salah.

***
P.S: Jika pihak producer membaca, saya selalu berseloroh dengan anak murid, biar saya jadi host Season 2 supaya saya boleh terangkan part jawapan Matematik itu. Joke aside, saya sarankan untuk pembuat soalan Matematik itu turut menyediakan skrip kepada host untuk dibaca ketika jawapan dipapar di skrin supaya Alif tidaklah nampak blur sangat. Misalnya untuk soalan malam ini (soalan kertas A4), skrip yang boleh diberi pada Alif ialah seperti “Untuk soalan ini, kita perlu bahagikan saiz asal kepada separuh, dan jawapan itu kemudian dibahagi lagi kepada separuh, dan separuh, sehinggalah kita dapat saiz untuk kertas A4.” Ringkas, namun dengan bantuan paparan di skrin, mampu memberikan penjelasan.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *