01 – Baru

01 – Baru

“Cikgu!!”

 

Tengah aku menyusun buku-buku yang nak dibawa ke kelas, aku dengar suara memanggil. Macam suara…

Elaine. Ketua tingkatan kelas 5 Aspirasi. Kelihatan pelajar perempuan Cina itu berlari masuk ke dalam bilik guru. Bilik guru agak kosong. Adalah seorang dua cikgu. Proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlaku. Baru sahaja masa ketiga untuk hari ini.

 

Memanglah aku lewat sikit. Agaknya Elaine datang menyusul kerana aku terlewat?

 

Aku tersengih sambil aku nampak raut muka Elaine bercanggah dengan memek mukaku.

 

“Yes Elaine?” aku sapa, selamba.

 

“Cikgu Hairul, is it true?”

 

“Grass is green and ocean is blue,” aku balas. “That is true, but some people tend to disagree…” Saja aku balas dengan lawak bodoh. Aku yang tertawa sendiri. Elaine, langsung tak teruja. Sama ada tak faham maksud lawak aku ataupun …. dia sudah tahu.

 

“Cikgu!” Elaine marah. Aku terus ketawa. Kemudian aku berhenti.

 

“Yes, Elaine,” kali ni aku makin serius.

 

“Is it true, that you are transferring?” Aku senyum bila mendengar soalan tersebut.

 

“Technically not…”

 

“But you are really going to another school?” Elaine berdengus. Mukanya nampak sedih. “Bila tu cikgu?”

 

Ala… ini yang tak seronok bila Elaine dah tarik muka. Memang sepatutnya aku ada lagi sebulan di sekolah ini. Ganti guru bersalin. Tapi dah tiba-tiba kena panggil posting. Nak buat macam mana.

 

“Jumaat ni hari terakhir saya kat sini.”

 

“Ala… cikgu……” Mukanya kekal monyok.

 

“Jom, help me out with the books,” sambil aku hulur separuh buku untuk dia angkat. Elaine ambil tanpa banyak soal. Aku bawa lagi separuh.

 

“Sedihlah cikgu.” Elaine mengeluh sambil kami berjalan ke kelas. Dia memang ekspresif. Tidak simpan yang di dalam hati.

 

“It’s okay, plus you guys are doing very well already. You guys can definitely survive without me.” Aku selamba.

 

“But cikgu….”

 

***

 

Hujan pagi ini. Sepatutnya ada perhimpunan pada hari Isnin sebegini. Tapi dah hujan, tak adalah. Kelas pertama aku jam 9 sekejap lagi. Kelas 4A.

 

Sudah seminggu sejak aku sampai di sekolah ini. Tapi minggu lepas aku hanya tolong ganti sahaja sementara jadual baru nak disusun. Lagipun minggu lepas ada ujian suku tahun.

 

Ayah dah mula risau bila dia dengar aku kata sekolah ini jauh dari bandar. Berpuluh kali juga aku beritahu yang semuanya okay di sini. Tak adalah cerok apa pun. Tak perlu naik bot macam kawan-kawan yang kena posting di Sarawak atau Sabah tu. Tak perlu juga lalu jalan lecah-lecah. Kereta muat saja kiri kanan untuk lalu jalan kampung ini. Bas saja yang tak ada. Kena naik motor atau kereta.

 

Cuma jauhlah dari bandar. Dalam sejam lebih. Tapi kedai semua ada di sini. Line phone? Itu memang aku kena tukar. Dah tukar nombor baru sebab nombor lama aku langsung tak ada line. Kalau pergi dekat-dekat kawasan masjid, baru dapat 1 bar. Kalau dari rumah sewa aku, memang tak ada apa. Internet? Bolehlah 3G slow-slow. Setakat nak Whatsapp dan Facebook tu memang boleh la. Nak Youtube, kena download video tu.

 

Aku duduk rumah sewa dekat pekan sebelah, dalam 10 minit dari sekolah. Sepatutnya duduk dengan seorang lagi cikgu yang juga posting di sini. Tapi entah, tak muncul tiba. Jadi seminggu aku duduk seorang.

Mak cik yang punya rumah ini duduk sebelah saja. Mak Cik Senah namanya. Ramah. Mujur tak ada anak dara, kalau tidak dah kena kahwin dah dengan anak Mak Cik Senah. Itu kata dialah yang berkenan tak tentu fasal dekat aku.

 

“Cikgu Hairul….” satu suara halus menyapa dari belakang. Elainekah? Ah, aku rindu anak-anak murid aku dahulu. Walaupun aku setakat jadi guru ganti saja, tapi pelajar-pelajar sekolah lama itu ramah benar.

 

Aku menoleh ke belakang dan kelihatan Cikgu Lydia berjalan pantas ke arah aku. Rendah sahaja Cikgu Lydia tapi laju benar dia berjalan. Kipas lipat tidak lekang dari tangan.

 

Cikgu Lydia, tak kena kecam ke dengan students sini dengan gaya macam tu? Aku bertanya, tapi dalam kepala sajalah.

 

“Ya, Cikgu Lydia,” aku membalas setelah angan-anganku menerawang ke sana sini terlebih dahulu.

 

“Saya nak pergi kelas 4B, Cikgu Hairul nak jalan sekali?”

 

“Oh, boleh juga,” jawab aku. Aku pun tak berapa pasti dekat mana kelas 4A. Kalau tak silap aku, dekat kantin.

 

“Jom kita jalan sama-sama!” Kata Cikgu Lydia sambil mengipas-ngipas dirinya.

 

Aku tersengih. Ayat-ayat Cikgu Lydia ni biasa saja. Tapi gaya gediknya bukan main lagi. Dia ni tengah flirting ke? Ke memang gaya dia macam ini?

 

“Apa pendapat cikgu tentang SMK Desa Saujana so far?” Tanya Cikgu Lydia.

 

“So far, so good,” balas aku ringkas. “Nampak pelajar-pelajar pun macam friendly je.”

 

“Pelajar-pelajar sini okay. Tapi biasalah, sekolah luar bandar…”

 

Tak habis lagi dia mengipas. Sambil jalan pun jadi…

 

Cikgu Lydia menyambung, “tapi Cikgu Hairul nanti nak ajar BI. Susah tu. I yang ajar Sejarah ni pun, mereka tak faham. Padahal dah cakap Bahasa Melayu dah.”

 

Cikgu Lydia ketawa. Eh, lawak ke ayat tu? Aku pun turut ketawa. Pura-pura. Masih keliru apa yang lucu dengan ayat itu.

 

“Ha, tu kelas 4A.” Cikgu Lydia menuding.

 

“Terima ka…” Kata-kata aku dipintas oleh Cikgu Lydia yang cepat saja masuk ke kelas 4A. Eh, bukan tadi dia kata dia nak kelas 4B ke? Aku keliru. Tak habis-habis keliru dari tadi aku ni…

 

Aku dengar pelajar sudah menjerit ‘bangun’ sejajar dengan bunyi kerusi ditolak ke belakang, sambil aku melangkah masuk kelas 4A.

 

“Selamat pagi, cikgu!” ketua tingkatan kelas tersebut menjerit dan diikuti dengan pelajar-pelajar lain. Cikgu Lydia melihat ke arah mereka, penuh keyakinan dengan kipas di tangan kanan berada di sisi. Dah tak kipas-kipas. Cikgu Lydia memang diva.

 

“Baik baik baik…..” Cikgu Lydia penuh teruja. Pelajar-pelajar sejak tadi mengerling padaku tapi sekarang tertumpu pada Cikgu Lydia. Serius Cikgu Lydia memang pandai ‘steal the stage’. “Hari ini, saya hendak perkenalkan guru Bahasa Inggeris kamu yang baru…. Cikgu Hairul!”

 

Dan Cikgu Lydia seakan-akan menari bila dia bergerak ke sebelah kanan aku. Pelajar menepuk-nepuk tangan bila Cikgu Lydia habis berkata-kata. Macam tak perlu pun nak tepuk tangan ni, tapi gaya Cikgu Lydia yang macam host memang buat orang mahu menepuk.

“Hi guys!” Aku menyapa. Agak tak yakin suara aku. Tapi para pelajar kelas 4A semuanya bersemangat membalas. “Hi teacher!” atau “Hi sir!” keluar dari mulut mereka. Memang tak unisonlah sapaan tu sebab separuh panggil ‘teacher’ dan separuh lagi panggil ‘sir’.

 

“Okay, Cikgu Hairul. Saya pergi dulu,” ujar Cikgu Lydia dengan kuat. “All the best, Cikgu Hairul,” lalu diikuti “muaah”. Pelajar-pelajar bersorak. Aku tersentak sekejap, sebelum tersengih. Cikgu macam ni pun ada? Aku tersengih lagi sambil lihat Cikgu Lydia melangkah pergi. Sebaik sahaja Cikgu Lydia beredar, aku memulakan kata.

 

“Okay guys, even though I’m teaching English, you don’t have to call me neither teacher nor sir,” aku tersengih. “You can call me ‘cikgu’. Just Cikgu Hairul.”

 

Tapi ayat-ayat aku disambut dengan raut muka yang berbeza. Berbeza sekali dengan sekolah dahulu. Aku baru perasan yang mereka ini tak faham apa yang aku cakap tadi.

 

Tiba-tiba bangun seorang pelajar lelaki. Dengan nada yang lemah dia berkata, ‘Cikgu, kami tak faham…..” Dan yang lain-lain mengangguk.

 

“Cikgu Hairul, you ought to speak Malay with these losers, even if it’s an English class,” kali ini seorang pelajar perempuan pula bersuara. Eh, yang ini fasih pula?


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *