02 – Mi Goreng

02 – Mi Goreng

“Dad, I’m doing alright here, you don’t have to worry…” Kali ke 134 aku bercakap benda yang sama pada ayah. “And how’s mom doing?”

 

“She’s been busy with her pilate class,” ayah bernada sarkastik.

 

“Tell her I miss her,” ujarku.

 

“Well, tell her yourself,” dan bunyi kuk-kak-kuk-kak di dalam talian. Oh, ayah sedang beri telefon pada mak. Dan aku dengar “Hello dear…” di dalam talian.

 

“Hello mom!” Balas aku.

 

“I told you that you should have been working for dad, right? Now, see where you end up!”

Alamak, mak aku ni dah mula tarik ayat drama pukul 7 la pula, kataku dalam hati. Sempatlah aku bersembang dalam 10 minit dengan mak sebelum aku kembali termangu semula di atas kusyen ini, di bawah kesamaran lampu kalimantang. Kipas berdiri menghembus angin malam. Televisyen sedang terpasang tapi aku senyapkan. Sekadar gambar bergerak tapi tiada suara.

 

Besar juga rumah sewa aku ini. Ada 1 bilik di bawah dan 2 bilik di tingkat atas. Rumah batu separuh, kayu separuh. Aku hanya duduk bahagian bawah saja. Bahagian atas ada perabot yang tuan rumah tinggalkan malas aku nak turun naik tangga.

 

Aku masih menggaru-garu kepala. Semalam aku masuk mengajar 4 kelas. 3 kelas Tingkatan 1 dan satu kelas Tingkatan 4. Esok ada lagi satu kelas Tingkatan 1 yang belum lagi aku jumpa.

 

Kononnya dah ada rancangan mengajar. Tapi satu apa pun aku tak buat. Hanya duduk bersembang-sembang. Dan pelajar hampir semua pasif. Tanya satu patah, jawab satu patah. Satu kelas Tingkatan 1 tu – kelas 1C – yang itu saja yang agak riuh. Yang Tingkatan 1 tu kecil lagi. Semuanya ingat nak main je. Yang Tingkatan 4 tu dah besar sikit.  Kelas 4A tu bervariasi. Ada cerita di sebalik wajah-wajah mereka.

 

‘Foooooooo,’ bunyi cerek air mendidih memecah kesunyian malam. Aku bangun dan bergerak ke dapur. Kaki terasa sejuk sedikit bila memijak tikar getah. Penunu gas aku padamkan.

 

Itulah Hairul, dulu praktikal kat sekolah bandar. Cikgu ganti pun kat sekolah bandar. Sekarang bila kau tercampak sekolah kampung macam ni, dah mati kutu! Marah aku dalam hati.

 

Sebenarnya boleh saja kalau aku nak buat apa yang aku rancang tadi. Bincang saja article dan bagi soalan. Dan budak-budak 4A pun bukanlah sampai tak reti. Cuma kena ajar slow-slow saja. Tapi nanti Effy mesti bosan kalau aku buat macam tu…

 

Oh, Effy ni dari bandar. Bahasa Inggeris dia memang dah elok dah. Itu, kes mak bapak cakap BI kat rumahlah tu macam mak bapak aku. Aku tanya tadi, dia cakap dia pindah sini tahun lepas. Gaya dia memang macam ‘queen bee’ dalam cerita-cerita orang putih. Ada dua orang budak lagi yang selalu ikut jalan dengan dia. Lupa pula aku akan nama mereka.

 

Siapa lagi dalam kelas tu? Aku tak cam banyak nama lagi. Am, budak senyap yang duduk di hujung kelas. Bila aku mengajar, memang mukanya memandang aku tapi seolah pandangan itu tembus ke belakang.  Entahlah kemana otaknya merewang.

 

Kimi, ketua tingkatan. Berisi dan rendah sikit. Dia ni aku rasa macam aku dulu-dulu. Dahlah pakai spek mata jenis bulat yang bingkai besar tu. Malu kot waktu aku kena pakai spek besar macam tu kat sekolah. Sampai aku paksa ayah beli baru hari tu juga.

 

Lagi seorang, Mimi. Yang ini unik, sebab dia selalu sahaja ketawa, tapi tawa itu seperti satu ….

 

“Assalamualaikum!” aku dengar ada suara memberi salam di pintu depan. Aku bergegas membuka pintu.

 

Eh, Bad! Bad pun salah seorang budak kelas 4A.

 

“Waalaikummussalam. Buat apa kamu datang rumah cikgu malam-malam ni?”

 

“Ni, mak bagi,” ujar Bad, pendek. Dia menghulurkan bekas plastik berisi …. uuuuh… mi goreng! Mi goreng basah-basah macam yang arwah nenek selalu masak. Ni mesti sedap ni!

 

“Kamu duduk kat mana Bad?” Soalku. Malam-malam, tiba-tiba muncul di pintu rumah.

 

“Rumah saya sebelah rumah Mak Lang Senah.” Oh, memang ada dua tiga buah rumah lagi di sekeliling rumah aku. Tapi semuanya saudara mara Mak Lang Senah la juga. Lantas,

 

“kamu anak saudara dia ke?” Aku meneka.

 

“Ya,” jawab Bad pendek.

 

“Kamu beritahu mak kamu yang cikgu duduk sini ya?” Telah aku lagi.

 

“Tak, Mak Lang Senah yang bagitau,” jawab Bad.

 

Oh, bagus-bagus. Dapat makan mi goreng malam ni. Aku tersengih.

 

Bad menyambung, “saya balik dulu, Cikgu.”

 

“Okay, terima kasih ya,” balas aku sambil Bad menyalakan mod lampu suluh di telefon bimbitku. Taklah gelap sangat dari rumah aku ke rumah Bad sebab rumah Mak Cik Senah ada lampu di beranda.

 

“Eh Bad!” Aku memanggil. Bad terhenti dan beralih melihatku.

 

“Kamu suka aktiviti apa untuk saya buat dalam kelas?” Tanya aku. Saja minta idea.

 

“Mmmmm…” Bad berfikir sambil menggaru dagunya. Perlu ke garu dagu? Pengaruh TV ni!

Bad menjawab, “menyanyi, Cikgu! Tak pernah ada cikgu nak menyanyi dalam kelas.”

 

“Oh, okay,” aku mengangguk-angguk sambil otak aku berpusing ligat macam Jimmy Neutron bila dia dapat idea. “Terima kasih Bad, cakap terima kasih kat mak kamu.”

 

“Baik, cikgu,” dan Bad berlalu pergi sambil ditelan kegelapan malam…. eh, tak pun. Tak kena telan pun. Boleh nampak Bad masuk dalam rumah hujung tu. Rumah Bad rupanya. Aku dah seminggu lebih tak perasan pun Bad duduk dalam tu. Jarang keluar rumah la tu.

 

Oh, menyanyi ya? Aku tutup pintu dan aku letak bekas plastik berisi mi goreng di atas meja. Lalu aku masuk ke dalam bilik dan aku buka kotak gitar. Ni kalau dalam kartun dah keluar dah cahaya dari dalam kotak ni bila aku buka. Ala-ala tengah terinspirasi kononnya.

 

Gitar aku tala sebentar. Terduduk aku di atas katil. Dan kemudian aku memetik.

 

Tringgg……

 

‘Well, you done done me and you bet I felt it…..”

 

Oh, sedap lagi suara aku dan aku tertawa sendiri.

 

 

*Gambar dari http://cahayashifa.blogspot.com/2015/07/resepi-mee-goreng-basah-memang-marvelous.html


2 Replies to “02 – Mi Goreng”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *