03 – Bunyi Gitar

03 – Bunyi Gitar

Riuh pelajar-pelajar 4A bila aku bawa masuk gitar dalam kelas. Ada yang mencuit rakan mereka. Ada yang mula bersembang lagi rancak. Sehinggalah Kimi menjerit ‘bangun’, barulah semua orang senyap.

 

Lucu pula bila aku memikirkan. Hanya dengan jeritan ‘bangun’, yang bingit tadi boleh jadi diam. Mungkin dalam praktis itu, ada disiplin yang turut disemat? Aku berfalsafah sebentar sementara menunggu ‘Good morning, sir!’ dari Kimi.

 

Dan kali ini, dengan unison, “Good ~ morning, ~ sir!” Dari yang lain-lain juga dengan lenggok lagu macam nak masuk pertandingan musabaqah.

 

“Good morning,” balas aku. “You may sit down.”

 

“Thank you sir!” Balas mereka. Duduk, dan kemudian kembali bersembang. Alamak, tak sempat nak tunggu 5 saat, dah bingit balik.

 

“So, today, we are going to …”
“Sing!” Jerit Bad dari meja tengah. Amboi Bad, yang semalam malu saja bila jumpa aku kat rumah. Ni dalam kelas, bukan main berani lagi.

“Sing! Sing! Sing!” Sorak pelajar lain.

Aku letak gitar di tepi kelas. Lalu aku kata, ‘yes, we are going to sing!’

 

Dan mereka bersorak gembira. Eh, faham pula. Setengah benda aku cakap mereka buat muka blur. Yang ni semua faham saja.

 

‘But, firstly we are going to read through some literature!’ Kataku dengan nada yang datar. Aku tersengih, disambut dengan keluhan dari separuh kelas. Oh, maksudnya yang ini ada yang tak faham. Mungkin tadi mereka memahami dari bahasa badanku? Ataupun perkataan ‘sing’ tu, semua orang faham kot? Telahku.

 

“So everybody, take out you literature book,” pinta aku. “Bawa keluar buku komponen sastera,” ulang aku sekali lagi dalam Bahasa Malaysia.

 

“Turn to page 19!” Dan para pelajar ramai-ramai membuka ke muka surat sepatutnya. Agaknyalah. Sebab ada yang sibuk bertanya rakan sebelah muka surat berapa yang patut dibuka.

 

“I’m going to read it first, and then..” lalu jari telunjuk ku menuding kepada, “Bad, you are going to continue!” Balasan sebab tadi dia teruja sangat. Aku ketawa dalam hati.

 

Bad menggaru-garu kepalanya.

 

Aku baca beberapa baris dan kemudian aku suruh Bad baca.

 

Juana la-id Cho-yo-ti-to on de blank-ket, and she place her shaul over him so det de hot sun kul-d not shain on him*” Bad bermula.

Aku tersenyum dengan loghat Bahasa Inggerisnya. Takpalah, lama-lama nanti okaylah tu, fikirku.

 

Bad menyambung, “he was kuit now,” dan aku pintas “quiet”, dan Bad membetulkan “quite now” dan terus menyambung “but de swelling on his shoulder had kon-ti-nu up his neck…” Dia terus membaca dalam beberapa baris lagi.

 

Sambil itu aku memerhatikan sekeliling. Ada yang memberi perhatian pada buku, ada yang memberi perhatian pada dinding bilik. Entah apa yang difikir. Ada juga yang tersengguk. Bila aku memerhati pada Mimi, dia memerhati kembali pada aku.

 

“Cikgu, we are bored,” katanya dari meja tengah. Dia duduk di sebelah Bad. Lantas dia menarik buku yang Bad pegang seraya berkata, “Let’s do something else.”

 

“Jom menyanyi cikgu!” Sambut Am dari meja belakang. Okay, kalau Am yang bermata kuyu dan nampak tak bersemangat pun dah bersuara, terpaksalah aku buat sesuatu.

 

“Okay class!” Dan semua mata tertumpu kembali pada aku.

 

Aku mencapai gitar dan aku bertenggek di bucu meja. Gitar itu aku petik dari not A ke bawah dalam C Major dan semua mereka mula bersorak. Walaupun aku terasa macam dalam konsert sendiri, terpaksa juga aku suruh mereka senyap sedikit. Nanti marah pula guru kelas sebelah.

 

“Okay,” aku tersengih. “Do you guys know I’m Yours by Jason Mraz?”

 

Pantas saja Effy dan Bad menangguk. Boi, salah seorang pengawas dalam kelas turut mengangguk. Faris Luqman yang duduk di sebelah Boi, atau kawan-kawannya memanggil Flo, bersandar dan mula mendakap tangannya. Aku kira, itu maksud tahu juga?

 

Namun beberapa dari mereka menggeleng.

 

“You do not know that song?” Dan dia menggeleng. Lupa pula namanya. “Again, what’s your name?”

 

Pelajar perempuan itu membalas dengan suara yang lembut.

 

“Fariza?” Tanyaku inginkan kepastian.

 

“Faizura cikgu!” Jerit Flo. “Faizura Elyas!” Disambung dengan deraian ketawa rakan-rakannya. Yang ketawa dengan kuat itu tentunya Effy. Faizura Elyas itu pelakon utama drama pukul 7 malam. Memang selalu aku tengok di rumah tambahan pula tiada apa yang nak dibuat di Desa Saujana ni.

 

“Bukan Faizura, Fazira!” Balas pelajar tersebut, tidak puas hati.

 

“Oh, Fazira…” Aku membalas kembali. “Fazira tak tahu lagu tu?”

 

“Tak.” Jawab Fazira, pendek.

 

Dua orang pelajar India yang duduk di hadapan kelas juga turut menggeleng.

 

“Kalau lagu Ariana Grande saya tahulah, cikgu,” kata Visha. Kartik yang duduk di sebelahnya turut bersetuju.

 

“So, what song do you guys want to sing?”

“Lagu Sufian Suhaimi cikgu!”

 

Lagu Bahasa Melayu dalam kelas Bahasa Inggeris, macam mana tu? Aku menggaru-garu kepala.

 

 


* The Pearl by John Steinback

** Photo from https://pixabay.com/p-2276181/?no_redirect

 


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *